Syurga menjadi tempat tinggal kekal bagi orang-orang yang beriman. Syurga merupakan tempat tinggal dan perhentian terakhir yang amat indah yang kekal abadi buat selama-lamanya.
Setiap orang yang bertakwa akan
menuju ke syurga bersama-sama dengan kelompok mereka seperti nabi bersama nabi,
golongan syuhada bersama kumpulan syuhada, golongan ulama bersama kumpulan
ulama, orang yang jujur bersama orang yang jujur.
Sesungguhnya orang-orang yang
beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka syurga Firdaus sebagai tempat
tetamu. Ciri-ciri penghuni Syurga Firdaus adalah para syuhada’ yang mati syahid
kerana berjuang ke jalan Allah, para nabi dan rasul, orang yang membayar zakat,
orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya, orang yang
memelihara solat, orang yang berpaling dari pekerjaan yang sia-sia, orang yang
menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka.
Mendengar bunyi pintu syurga
dibuka sahaja sudah mengasyikkan. Melihat pintu syurga dibuka untuk kita,
perasaannya tidak mampu digambarkan. Segala nikmat syurga yang dahulunya pernah
diceritakan kini terbentang di hadapan. Sungguh segalanya lebih indah, lebih
hebat dan lebih mengagumkan daripada apa-apa yang pernah digambarkan. Mereka
tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia. Di dalam syurga itu
ada mata air yang mengalir dan piala-piala minuman yang disediakan. Serta
hamparan-hamparan yang terbentang.
